Wednesday, 15 February 2012

Jam Moden vs Jam Matahari


Saya teringat ketika saya masih kecil dahulu, ketika "orang-orang dewasa" masih memanggil saya dengan gelaran "budak" (gambar ni bukan gambar saya ye), seringkali apabila dikejutkan dari tidur, saya melihat jam di dinding.

"Alah, baru pukul 6.00, awal lagi".

"Along kena la bangun, nak solat subuh".

"Alaah, ngantuk la".

"Nanti lepas solat subuh boleh la tidur balik".

"Ye lah.....".

"Cepat sikit, dah pukul 6.15 ni, nanti waktu subuh habis pulak".

Demikianlah kisah benar antara saya dengan emak yang saya baru reka tadi. Demikianlah dialog-dialog yang perlu dihafal dan diulang-ulang setiap kali masuk waktu subuh.

Nasib baiklah saya dah besar. Tak payah susah nak hafal skrip tu lagi.

Sebenarnya, ada satu perkara yang rumit sedang berlaku. Saya berfikir. Ada orang kata, kita kena kejar waktu, jika tidak, waktu akan pergi meninggalkan kita. Ketika itu kalau tidak silap pukul 5.45 pagi, sipi-sipi lagi nak masuk waktu subuh. Ketika itu saya masih di bangku universiti.

"Apa itu waktu?". Saya melihat jam saya pula. 5.46 am. Saya dah membazir seminit. Eh silap, tak membazir sebab saya tengah berfikir. "Kenapa saya mesti bangun pukul 5.45 am setiap hari?".

Lama jugak saya termenung, eh silap, bukan termenung, tapi berfikir. Jam menunjukkan 5.47 am. Seminit lagi dah bergerak. Saya ada jadual. Dalam jadual kata saya mesti bangun 5.30 am. Ni dah lajak ni. Jam pun di kunci pada 5.30 am. Lalu saya rasa macam orang bodoh sebab saya selama ini hanya hidup mengikul jadual tanpa diketahui pun apa sebabnya. Fikir punya fikir, tiba-tiba saya terpandang di luar tingkap, melihat langit.


Ada cahaya. Bukan wahyu ye, tapi cahaya matahari. Emm tak nampak matahari pun, cuma langit dah agak cerah-cerah. Akhirnya saya terfikir jugak sesuatu. Akhirnya saya dapat jugak apa yang saya cari selama ni sejak kecil lagi. Alhamdulillah, misteri terbongkar. Dan saya sedar, perbuatan saya melihat jam setiap kali bangun dari tidur adalah satu tindakan yang SALAH.

Hah, habis tu bangun-bangun tak boleh tengok jam ke?

Nak tahu apa jawapannya? Teruskan membaca.

Pertama sekali, sebelum membongkar misteri alam ini, cuba anda perhatikan dahulu jadual hidup anda.

7.00 am : Mandi, bersiap-siap untuk kerja/belajar dan sarapan
8.00 am : Masuk kerja/kelas
1.00 pm : Rehat dan makan tengah hari
2.15 pm : Sambung kerja/kelas
5.00 pm : Balik
6.00 pm : Mandi, rehat-rehat
8.00 pm : Makan
11.59 pm : Berdengkur depan tv


Ya, secara kasarnya, macam ni la jadual hidup kita lebih kurang. Kadang-kadang, walaupun kita sudah mengantuk, tetapi sebab kita lihat jam masih menunjukkan pukul 9.00 malam, kita tidak mahu tidur lagi kerana rasa macam awal lagi. Kalau kita berasa lapar pun, tetapi baru pukul 11.00 pagi, kita biarkan perut kita terus menyanyi dengan suara sumbangnya itu. Dan lain-lain hal, kita banyak mengaitkan kehidupan seharian kita dengan jam dan jadual kita.

(Alamak, terasa macam nak buang air la. Eh, belum pukul 6 lagi. Tahan dulu la)

Cuba anda fikir, kenapa kita mesti bangun pukul 6 atau 7 pagi? Kenapa pukul 7 petang pula kita mesti mandi, bersiap-siap dan lain-lain?

Ada orang cakap kat saya (mungkin dia ni seorang motivator tapi "name tag" dia terjatuh dalam lubang tandas waktu dia buang air tadi kot), "awak mesti susun jadual hidup awak. Tetapkan, pada waktu sekian-sekian, apa yang awak nak buat".

Kalau berfikir pakai otak, memang ada logiknya apa yang dia cakap.

Tetapi cuba anda fikir guna hati. Adakah kita perlu gantungkan hidup kita pada jam? Sedangkan jam itu sendiri tak tahu kenapa dia mesti berpusing 24 jam, kenapa kita mesti ikut je jarum tu?

Jam. Apa itu jam? Jam adalah alat yang digunakan untuk mengukur waktu.

Kenapa kita perlu mengukur waktu?

Supaya kita dapat menguruskan segala pekerjaan kita seharian. Sekarang, cuba anda bayangkan, kalau dunia ni takde jam seperti yang kita guna sekarang, boleh tak kita uruskan kehidupan kita?

Fikir..















Fikir la, jangan tahu skrol ke bawah je...














Jawapannya, kita boleh hidup di dunia tanpa jam seperti yang kita dengan guna ni.

Bagaimana?

Iaitu, dengan menggunakan alat pengukur waktu yang paling hebat di dunia dan paling besar di yang boleh dilihat dan dirasai oleh semua orang di dunia ini.

Apa dia?


Matahari.

Apa?

Biar betul? Nak guna jam matahari balik ke?

Well, I afraid to say so but the answer is "YES".

Biar betul?

Betul la. Takkan nak tipu kot.

Kenapa jam matahari? Sebenarnya bukanlah jam matahari pun, tapi sebenarnya pengukur waktu kita yang paling tepat ialah matahari itu sendiri.

Kenapa?

Kerana hidupan semua bergantung pada matahari.


Kenapa kita bangun tidur?
Kerana hari sudah pagi.

Kenapa kita tidur?
Kerana hari sudah malam.

Kenapa kita berhenti bekerja?
Kerana hari sudah hampir gelap.

Mungkin ada orang akan kata jam matahari ini banyak kelemahan, contohnya kalau hujan dan lain-lain.

Itu hanya alasan. Kelemahan-kelemahan tersebut boleh diatasi kecanggihan zaman sekarang. Malah orang-orang zaman purba juga boleh mengatasi kelemahan jam matahari dengan menggunakan jam air yang masih menyamai fungsi jam matahari.

Ingin mengetahui kehebatan sistem waktu yang berasaskan matahari?


Teruskan membaca.


An-Naba' ayat 10-11. dan Kami jadikan malam sebagai pakaian "dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan "

Apabila membaca ayat Al-Quran di atas, hati saya lebih yakin. Waktu kita sepatutnya diukur dengan siang malam dan peredaran matahari.

Kenapa kita perlu bersiap-siap pada pukul 7 pagi untuk ke kerja, sedangkan pada sesetengah waktu, pukul 7, matahari sudah pun terbit keseluruhannya dan hari telah cerah. Sedangkan untuk sesetengah waktu pula, pukul 7 pagi masih gelap. Adakah anda uruskan hidup anda berdasarkan siang malam? Atau mengikut jam yang ia sendiri pun tidak tahu kenapa ia harus berpusing?

Mungkin di Malaysia, kesan perbezaan antara jam dengan matahari tidak ketara. Tetapi bagi sesetengah negara, terutama yang mengalami 4 musim berbeza, perbezaannya amat ketara.

Pada musim panas, waktu siang panjang, sehinggakan waktu kerja sudah habis, tetapi matahari masih lagi memancar. Pada musim sejuk pula, siangnya pendek, kerja tak habis lagi hari sudah gelap. Kelemahan sistem ini semakin ketara apabila sistem "Day Light Saving Time" terpaksa digunakan di sesetengah negara untuk menampung kelemahan sistem jam bodoh yang sedang digunakan di seluruh dunia sekarang.

Kenapa? Kerana kita hidup bergantung pada jam dan bukan lagi matahari.


Apabila kita hidup mengikut jam, kita seolah-olah tidak nampak alam sekeliling. Ini kerana jam yang kita gunakan sekarang tidak terikat dengan alam sekeliling dan perubahan siang malam.

Mari kita lihat "jam" ciptaan Allah pula.

Jika mengikut "jam" ciptaan Allah, kita ada beberapa waktu.

Subuh
Syuruk
Dhuha
Zuhur
Asar
Maghrib
Isya

Demikianlah waktu-waktu yang natural ciptaan Yang Maha Agung. Jika jam ciptaan manusia berbunyi setiap jam, contohnya jika pukul 8, jam akan berbunyi 8 kali, dan akan berbunyi 24 kali sehari, manakala "jam" ciptaan Allah pula berbunyi 5 kali sahaja sehari iaitu setiap kali masuk waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya (bunyinya ialah azan dilaungkan).


Apa simboliknya 5 waktu tersebut?

Simboliknya, Allah nak bagitahu kepada manusia-manusia yang lemah ni akan perubahan waktu.


Apabila waktu malam tamat dan waktu pagi muncul, untuk memberitahu semua manusia, Azan Subuh dilaungkan, sebagai tanda perubahan waktu.


Apabila udara-udara nyaman pagi telah habis diganti dengan kehangatan matahari yang pada kemuncaknya, maka Azan telah diperintahkan untuk dilaungkan pada waktu Zohor, menandakan matahri sudah mulai garang. Sebab tu lah kita disunatkan tidur sekejap sebelum atau selepas Zuhur (qailullah).

Kemudian, apabila matahari yang garang dan menghangat tadi sudah mulai reda, panas pun berkurang, maka Azan Asar pun dilaungkan. Anda boleh bandingkan sendiri bagaimana bezanya panas Zohor dan panas Asar. Panas selepas Asar agak reda kerana itu kita boleh bersukan.


Kemudian apabila petang ingin melabuhkan tirainya, memasuki waktu senja, Azan Maghrib dilaungkan. Apa beza petang dengan senja? Anda boleh rasa sendiri. Ketika senja, otak anda akan terasa "fresh" sikit berbandaing waktu petang tadi.


Kemudian, apabila waktu senja tamat, memasuki waktu malam, Azan Isya' pun dilaungkan.


Demikianlah Allah telah menetapkan kejadian siang dan malam sebagai petanda buat mereka yang berfikir.

Apa pentingnya susunan waktu mengikut matahari?


Jawapannya kerana keupayaan anggota fizikal kita termasuklah otak amat-amat bergantung pada matahari. Otak kita sesuai untuk melakukan sesetengah aktiviti pada waktu pagi dan aktiviti lain pada waktu petang. Ada perkara yang tubuh badan anda sesuai untuk melakukannya pada waktu siang dan tidak malam. Dan begitulah.

Tetapi sistem jam yang diguna pakai dalam sistem kapitalis ini, tiada lain tujuannya selain untuk menjadikan kita robot. Sistem ini telah memaksa kita melakukan satu kerja yang sama dari pagi hinggalah ke petang. Kerana itulah jam yang digunakan dalam sistem kapitalis moden ni tidak terikat pada perubahan matahari. Supaya apa?

Supaya segala tugasan-tugasan pekerja-pekerja dapat dilakukan semaksimum mungkin tanpa dipengaruhi oleh perubahan siang malam. Mereka tidak perlu lagi mencipta robot kerana mereka telah berjaya mengubah manusia menjadi robot yang boleh bekerja tanpa mengira waktu!



Cuba anda perhatikan bagaimana jam dalam tamadun-tamadun purba dicipta? Jam-jam mereka dicipta kesemuanya bersandarkan pada perubahan siang malam dan peredaran matahari. Perubahan pagi petang. Satu fakta yang terpaksa saya bagi tahu ialah,

"Orang-orang zaman dahulu lebih arif tentang kepentingan siang malam berbanding orang sekarang yang hanya hidup bagaikan robot".



Allah yang Maha Penyayang telah mengetahui kepentingan siang malam sering mengingatkan hamba-hamabaNya melalui azan-azan yang dilaungkan dari masjid-masjid. Tetapi hamba-hambaNya yang hina ini sering kali sombong, menangguhkan panggilan tersebut untuk meneruskan kerja masing-masing. Allah mengetahui kita akan menyeksa badan kita apabila terus melakukan kerja dengan melanggar sempadan perubahan waktu dan menyuruh kita berhenti seketika untuk solat.


Dalam sistem dunia baru ciptaan Dajjal ini, manusia-manusia akan ditutup daripada melihat dunia yang sebenar, sehingga manusia menjadi robot. Anda boleh lihat sendiri betapa jauhnya anda dengan alam ciptaan Tuhan. Dari bangun tidur, sehingga tidur kembali, anda melalui dunia ciptaan manusia. Segala apa yang anda lalui, anda hanya akan menemui ciptaan-ciptaan manusia.

Tetapi satu perkara yang tidak mampu dihalang oleh Dajjal, iaitu siang malam. Maka untuk mengekalkan manusia dalam dunia ciptaannya, supaya manusia tidak sedar akan perubahan siang malam yang telah dicipta oleh Allah, maka sistem jam moden telah diperkenalkan.


Jam-jam telah digantung di tempat-tempat yang tinggi, tempat-tempat yang strategik dan hampir di setiap ceruk dunia. Maka dengan itu, apabila manusia ingin melihat waktu, manusia tidak lagi memandang ke langit, tetapi memandang ke arah jam. Sehinggakan untuk menentukan waktu solat sekalipun umat Islam tidak pandai untuk melihat langit, tetapi mereka hanya tahu waktu solat dah masuk ke belum hanya berdasarkan jam semata-mata.



Anda, termasuk saya sendiri, tidak lagi pandai untuk melihat waktu berdasarkan pergerakan matahari. Bodohnya.......

Allah yang lebih pandai.

Wallahu A'lam

No comments:

Post a Comment